PUTRAJAYA – Sebanyak 134 kes jangkitan Variant of Concern (VOC) dikesan melibatkan 132 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351) menerusi kajian berterusan pada 7 Oktober hingga hari ini.
Kesemua 134 kes tersebut ditemui di Johor (43), Negeri Sembilan (18), Melaka (15), Kuala Lumpur (13), Selangor (13), Sabah (13), Pahang (6), Pulau Pinang (6), Sarawak (2), Kelantan (1), Kedah (1), Terengganu (1), Putrajaya (1) dan Perlis (1).
Ia dikesan selepas kajian oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM), Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome Institute (MGI) dan Institute for Medical Research (IMR).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pecahan, UMBI-UKM mengenal pasti sebanyak 79 kes kesemuanya varian Delta (B.1.617.2) manakala, iPROMISE-UiTM pula sebanyak 10 kes varian Delta (B.1.617.2).
“TIDREC-UM mengenal pasti tujuh kes varian Delta (B.1.617.2), MGI dengan satu kes varian Delta (B.1.617.2) manakala IMR mengesan 37 kes iaitu 35 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,386 kes. Daripada jumlah itu, 2,366 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya menerusi hantaran Facebook di sini hari ini. -K!ONLINE