JERANTUT – Seorang ibu tunggal terpaksa berdepan pelbagai dugaan untuk mencari rezeki apabila dia kini kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan kedai makannya yang sebelum ini ditutup selepas kematian suami tiga tahun lalu.
Lebih malang lagi apabila cubaan Hasimah Mohamed, 45, untuk menampung keluarganya dengan membuat tempahan kuih tidak mendatangkan hasil akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kini, ketika semua sektor ekonomi telah dibuka termasuk operasi kedai makan, ibu kepada tujuh orang anak berusia tujuh hingga 21 tahun itu berhasrat untuk kembali membuka kedai makannya demi menyara keluarga.
“Dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 ini, saya berhasrat memulakan perniagaan di kedai yang dibina arwah suami bagi memperoleh pendapatan membesarkan tujuh orang anak.
“Namun, saya berdepan kekangan apabila kehabisan modal selepas semua wang simpanan yang ada telah habis diguna untuk menampung keluarga sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Simpang Ibul Tunggal di sini semalam.
Tambah Hasimah, dia kini berharap pihak kerajaan dan agensi berkaitan dapat memberikan bantuan termasuk peralatan bagi meneruskan perniagaan kedai makannya.
Katanya, dia sebelum ini memperoleh kemahiran memasak kuih-muih menerusi kursus dalam bidang kulinari yang dikelolakan oleh Pejabat Kemas Jerantut di samping bantuan peralatan memasak daripada pejabat berkenaan untuk ibu tunggal.
“Setelah memperoleh kemahiran berkenaan, saya cuma mampu membuat baulu, kuih bakar dan roti canai di rumah yang ditempah oleh pelanggan berdekatan dan hanya mampu memperoleh antara RM50 hingga RM80 sehari untuk menyara empat orang anak yang masih bersekolah.
“Apabila penularan pandemik Covid-19 dan bermula PKP saya benar-benar tertekan kerana hasil pendapatan tidaklah seberapa malah kadang-kadang tiada langsung memandangkan pelanggan kurang membuat tempahan,” ujarnya.
Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Hasimah di talian 014-8164963.