SEBERANG PERAI – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini bergerak lancar di kedua-dua arah setakat petang ini.
Tinjauan Kosmo! di Plaza Tol Juru dekat Bukit Mertajam dan laluan dekat Seberang Jaya di sini setakat pukul 4 petang tadi mendapati trafik lancar walaupun orang ramai dijangka mula melakukan perjalanan pulang ke ibu kota untuk kembali bekerja esok.
Laluan terbabit adalah jalan utama pengguna dari negeri ini, Kedah dan Perlis menuju ke arah selatan termasuk ibu negara.
Terdahulu, aliran trafik di bahagian pulau dan Seberang Perai dijangka meningkat susulan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Maulidur Rasul hari ini.
Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober selepas peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus. – K! ONLINE