PETALING JAYA – Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.
Pemilihan tersebut dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul S.A.W peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M setelah meneliti pencalonan dengan mengambil kira sumbangan individu dan organisasi dalam bidang masing-masing.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi satu kenyataan berkata, pemilihan dibuat berdasarkan peranan calon ke arah memperkukuhkan syiar Islam khususnya di Wilayah Persekutuan berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.
“Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Datuk Mohd. Khay Ibrahim yang juga merupakan usahawan juga tokoh korporat bumiputera yang memiliki Tamu Hotel & Suites, sebuah hotel patuh syariah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori masjid,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Masjid Ar-Rahimah merupakan perintis kepada program ‘community freezer’ yang menempatkan peti simpanan sejuk beku bagi bekalan makanan basah kepada golongan yang terkesan dan memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Inisiatif tersebut sekaligus menyerlahkan fungsi masjid yang bukan semata-mata menjadi tempat beribadah tetapi juga menyantuni keperluan dan kebajikan ummah,” ujarnya.
Sementara itu, Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin terpilih sebagai penerima anugerah kategoti surau manakala Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi(SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan dipilih menerima anugerah Kategori Sekolah Rendah Agama (SRA).
“Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah),” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sewaktu berucap merasmikan majlis menyeru agensi hal ehwal Islam untuk terus bangkit bersama masyarakat membantu dan membina semula negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama Jawi, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya. -K! ONLINE