PETALING JAYA – Pelakon Ika Nabella percaya, sangat penting untuk setiap orang menjauhkan diri daripada manusia toksik dan memastikan pergaulan dikelilingi individu positif serta memberi aura baik.
Menurut pemilik nama lengkap Ika Nabila Abdul Rahim itu, manusia yang toksik bukan sahaja menjatuhkan air muka bahkan mampu meruntuhkan semangat seseorang.
Mengakui sering berdepan dengan manusia toksik, Ika berasa hairan melihat golongan yang menganggap diri mereka terlalu sempurna berbanding orang lain.
Perkara tersebut dilalui sendiri oleh Ika, 32, apabila dia disindir seorang individu yang cukup sempurna ilmu agama tetapi dengan mudah melabelkan dirinya tidak layak mengerjakan ibadah umrah.
“Seseorang kata yang saya tidak layak untuk kerjakan umrah. Seorang manusia yang cukup sempurna didikan agamanya kata, ‘tak layak’.
“Kata-katanya terlalu melukakan hati saya sampaikan rasa sekarang juga nak tempah. Saya menyimpan impian untuk menunaikan umrah sejak saya berhijrah,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Tambah pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan itu, dia selama ini sebenarnya sedang bertarung dengan diri sendiri untuk mempelajari ilmu agama demi menjadi seorang manusia yang lebih baik.
“Saya benar-benar memaksa diri untuk belajar agama, mengaji betul-betul dan belajar tajwid. Bangun pagi sertai kuliah. Demi Allah, saya cuba jadi orang yang lebih baik. Kenapa? Sebab saya lemah.
“Saya tak pasti tentang orang lain. Tapi saya memang bergelut. Rezeki saya ada ustazah yang selalu ingatkan saya setiap kali kelas. Supaya saya tak lupa dan sentiasa berpegang teguh dengan niat. Tapi orang-orang begini…entahlah,” katanya lagi.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, golongan manusia yang toksik perlu menghentikan tabiat dan sikap buruk mereka terhadap orang lain.
“Tak payah masuk kedai ni, semua saiz S, tak ada saiz gajah. Jangan pakai tudung putih lah, nanti jadi tahi cicak. Perangai macam ni nak pergi umrah? Tak payah berangan, tak layak. Siapa pernah berhadapan situasi di atas?
“Orang-orang sebegini patut hentikan semua ini. Salah kalau bercakap begitu kepada orang lain. Mereka bukan adik-beradik, pasangan atau kawan rapat kalian! Ini bukan gurauan. Macam manalah nak hentikan semua ini,” luahnya. – K! ONLINE