PETALING JAYA – Penyanyi Nourul Depp berterima kasih kepada kenalan di Malaysia yang bertanyakan khabar dirinya dan keluarga susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Bali, Indonesia pada Sabtu lalu.
Ujar Nourul atau nama lengkapnya Noorul Huda Abdul Wahab, 44, dia sekeluarga berada dalam keadaan selamat, malah memberitahu bahawa dia langsung tidak tahu tentang kejadian gempa bumi tersebut kerana berada jauh di kawasan yang mengalami gegaran.
“Ramai yang bertanya tentang keadaan saya sekeluarga sebab kata mereka ada kejadian gempa bumi di Bali. Saya pun tak tahu cerita sehinggalah ada seorang kenalan tanya sama ada saya okey atau tidak.
“Sebenarnya saya tak rasa pun gegaran gempa bumi tersebut kerana berada jauh. Alhamdulillah saya dan keluarga baik-baik sahaja,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Ekoran itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Kerana Terluka itu meluahkan rasa syukur kerana dia dan keluarganya berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas apa-apa.
Difahamkan Nourul yang berhijrah ke Bali bersama keluarganya sejak 19 September lalu itu tinggal di kawasan yang dikenali sebagai Canggu manakala lokasi kejadian gempa bumi itu pula berlaku di timur laut Banjar Wanasari.
Tiga individu disahkan terkorban dalam satu gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter yang melanda pulau Bali, awal pagi tadi.
Gempa bumi tersebut melanda pada kedalaman yang cetek iaitu 10 kilometer timur laut bandar Banjar Wanasari.
Dua individu terkorban selepas gempa bumi itu mengakibatkan tanah runtuh yang kemudiannya menimbus kediaman mereka di wilayah Bangli sementara seorang lagi mangsa terkorban di bandar pelabuhan Karangasem. – K! ONLINE