Oleh BAHRUDDIN HATTA
KUALA KRAI – Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tiga daripada lima buah rumah setinggan yang didiami mereka hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Siam di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 2.42 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Razak Harun berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Krai bersama 14 orang anggota terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak membakar hampir lima buah rumah setinggan yang dibina dalam kedudukan rapat.
“Kebakaran itu memusnahkan hampir 100 peratus rumah setinggan yang diperbuat daripada kayu dan api berjaya dikawal selepas 45 minit operasi memadamkan kebakaran.
“Operasi agak rumit apabila rumah itu berada rapat antara satu sama lain menjadikan ruang sempit untuk memuatkan jentera bomba selain tekanan air yang sangat rendah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Susulan masalah tekanan air itu, Che Razak berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Air Kelantan untuk menutup semua saluran air di kawasan berdekatan untuk menyalurkan air terus ke kawasan kejadian.
Katanya, dalam kebakaran itu, hanya tiga buah rumah yang didiami keluarga hangus, manakala dua lagi tidak berpenghuni.
Punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-K! ONLINE