KULAI – Enam sekeluarga yang pulang ke kampung dari Senawang, Negeri Sembilan berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah gaung sedalam 30 meter di Kilometer 28.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.50 malam itu menyebabkan tiga daripada mereka cedera parah manakala tiga yang lain mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Kanan Bomba II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.53 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki enam orang telah terbabas ke dalam gaung sedalam 30 meter.
“Tiga mangsa berada dalam keadaan parah dan didapati di bawah gaung telah dikeluarkan menggunakan ‘stretcher’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa dikenalpasti sebagai Syaidi Mohd. Nor, 48 dan Azlina Nazarudin, 45, serta dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki lain yang mana maklumat mereka tidak diperoleh,” ujarnya. -K! ONLINE