fbpx

Sultan Mizan seru semua rakyat lengkapkan vaksinasi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan bertitah perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Kuala Terengganu malam tadi.

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru agar seluruh rakyat menyambut baik saranan kerajaan tentang keperluan vaksinasi Covid-19.

Baginda bertitah, pengambilan vaksin tersebut merupakan ikhtiar bagi mencegah penyebaran wabak Covid-19 sekali gus menghalang sebarang mudarat yang lebih besar.

“Nabi Muhammad mengingatkan umatnya agar menjauhi sebarang bentuk kemudaratan orang lain.

“Sabda baginda (Nabi Muhammad) yang diriwayatkan Ibnu Majah bermaksud : ‘Tidak boleh (menjerumuskan diri kepada) mudarat dan tidak boleh memudaratkan (orang lain)’,” titah baginda sewaktu menyempurnakan perasmian sambutan Maulid Rasul peringkat Terengganu secara maya di sini malam tadi.

Sultan Mizan bertitah, ajaran dan akhlak Nabi Muhammad yang banyak mendidik dalam hidup bermasyarakat dan berjiran juga perlu diterapkan terutama sepanjang pandemik pada waktu ini.

Baginda bertitah, nasib individu yang kehilangan insan tersayang, anak-anak menjadi yatim piatu, hilang pekerjaan atau kurang pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 tersebut perlu ditangani dan diberi perhatian.

“Beta suka mengingatkan kepada semua pihak, perhatikanlah jiran tetangga yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Ramai dalam kalangan kita menghadapi kesulitan dan kesusahan yang perlu diberi perhatian sewajarnya,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah sentiasa berdoa dan memohon ke hadrat Allah agar negara ini kembali pulih daripada pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI