PUTRAJAYA – Penubuhan Tabung Wakaf Masjid Hijau dijangka memberi manfaat kepada 6,512 buah masjid dan 18,267 buah surau berdaftar di Malaysia sekali gus membiayai pelbagai aktiviti dan projek teknologi hijau.
Dalam satu kenyataan bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Tabung Wakaf Masjid Hijau yang berkonsepkan dana awam akan mengumpulkan sumbangan individu, sektor kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk disalurkan kepada masjid.
Katanya, tabung itu adalah susulan daripada program Rumah Ibadat Hijau (RIH) yang telah dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada 25 September 2020.
“Tabung ini akan membiayai aktiviti dan projek yang dilengkapi dengan teknologi hijau seperti penukaran kepada lampu diod pemancar cahaya (LED), penukaran kepada kipas atau penghawa dingin yang cekap tenaga dan pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di masjid,” katanya hari ini sempena pelancaran Tabung Wakaf Masjid Hijau hari ini.
Katanya, anggaran penggunaan tenaga elektrik dan air di seluruh masjid adalah sebanyak 2,691 GigaWattjam (GWj) dan 146.2 juta meter padu (m3) bersamaan dengan kos elektrik sebanyak RM1.3 billion dan air sebanyak RM67.23 juta setahun.
“Manakala anggaran penggunaan tenaga elektrik dan air di seluruh surau adalah sebanyak 600 GWj dan 102.5 juta m3 bersamaan dengan kos elektrik sebanyak RM310 juta dan air sebanyak RM47 juta setahun,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, objektif program RIH adalah untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya gaya hidup hijau di kalangan ahli kariah dan sebagai contoh bangunan komuniti yang cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon di kawasan setempat.
Katanya, program RIH menekankan kepada empat elemen hijau iaitu penjimatan tenaga elektrik, penjimatan air, pengurangan sisa dan pengurusan sisa buangan dengan teratur serta menggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau. – K! ONLINE