KEMAMAN – Sebuah kapal tangki membawa muatan diesel ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kemaman dekat sini kerana disyaki tidak memiliki dokumen pelepasan pelabuhan pada kelmarin.
Kapal tersebut ditahan oleh sebuah bot peronda APMM yang sedang melakukan rondaan pada kedudukan 8.3 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat sini pada pukul 10.45 malam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kapal peronda bertindak menahan kapal tangki terbabit yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati kapten bersama empat kru kapal gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan yang sah.
“Kapal yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat ia berlabuh manakala kapten bersama krunya pula dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru termasuk kapten terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 29 hingga 68 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes akan disiasa mengikut Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – K! ONLINE