KUALA TERENGGANU – Golongan miskin dan orang kelainan upaya (OKU) di Terengganu yang antivaksin berkemungkinan besar kehilangan peluang untuk menerima bantuan daripada agensi kerajaan pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri Terengganu secara serius sedang mempertimbangkan agar menjadikan lengkap vaksinasi Covid-19 sebagai prasyarat kelulusan permohonan bantuan berkenaan.
Katanya, prasyarat tersebut meliputi semua permohonan bantuan bulanan dan khas agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Darul Iman.
“Keutamaan akan diberi kepada permohonan daripada individu berkelayakan yang telah lengkap dua dos vaksin.
“Pendirian ini selari dengan dasar kerajaan Persekutuan yang enggan berkompromi dengan golongan antivaksin seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tidak akan memudahkan kehidupan golongan antivaksin sekiranya mereka masih berdegil dengan terus menolak vaksinasi.
Hanafiah berkata, setiap permohonan baharu bantuan akan diteliti untuk memastikan kelulusan diberikan kepada mereka yang berkelayakan dan sudah lengkap vaksinasi sahaja.
Begitupun beliau menjelaskan, dasar baharu terbabit tidak bermaksud untuk mengabaikan dan berlaku kejam terhadap golongan yang betul-betul memerlukan bantuan.
“Kita akan siasat punca sebenar pemohon terbabit tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 bukannya terus menolak (permohonan) dan melabel mereka antivaksin tanpa usul periksa.
“Sekiranya alasan itu bukan sebab kesihatan, mereka akan dinasihat dan dipujuk untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan permohonan (bantuan) akan diluluskan,” katanya.-K! ONLINE