fbpx

Tauke terduduk, ratusan ikan kerai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan kerai liar mati bergelimpangan dipercayai akibat aktiviti menuba udang di Sungai Pahang di Temerloh kelmarin.

TEMERLOH – Seorang penternak ikan sangkar Sungai Pahang mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas ikan kerai liar yang dipelihara mati dipercayai akibat kegiatan menuba udang kelmarin.

Kesemua ikan kerai yang mati itu merupakan ikan kerai liar yang ditangkap di sungai sebelum dilepaskan ke dalam sangkar di Sungai Pahang sejak dua tahun lalu.

Anggaran jumlah ikan di dalam kolam tersebut adalah kira-kira 300 ekor.

Hamzah Deris, 49, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas turun ke sangkar ikan tersebut pada pukul 5 petang untuk memberi ikannya makan di Kampung Lebak Seberang di sini.

“Saya terduduk apabila melihat ikan-ikan yang berusia lebih dua tahun dengan berat setiap satunya melebihi satu kilogram di dalam sangkar khas mati bergelimpangan.

“Mungkin ikan-ikan ini yang berada dalam sangkar yang agak padat dan ditambah pula dengan keadaan air yang cetek mati akibat tuba udang yang mengalir ke sangkar tersebut,” katanya di sini semalam.

Pada masa kini, Sungai Pahang menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari mereka yang tinggal luar negeri ini untuk melakukan aktiviti memancing ikan serta udang berikutan kebenaran rentas negeri ditarik balik oleh kerajaan bermula pada 11 Oktober lalu.

Menurut Hamzah, susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis semalam bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Hamzah yang memiliki 15 sangkar ikan di Sungai Pahang memberitahu, setakat ini, ikan peliharaannya yang lain iaitu pa­tin dan tilapia tidak terjejas dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Hamzah turut memberitahu, dia sudah merancang untuk menjual ikan-ikan tersebut pada harga RM70 seki­logram.

Ini kerana, kebanyakan restoran telah dibuka selain kehadiran orang luar terutama peminat-peminat ikan kerai liar dari luar negeri ini ekoran aktiviti rentas negeri telah pun dibenarkan sejak seminggu lalu.

“Saya memang bercadang untuk menjual ikan-ikan ini apabila beratnya melebihi sekilogram kerana ramai peminat ikan su­ngai mahukan saiz kerai yang besar.

“Namun, saya reda dengan apa yang berlaku ke atas ikan-ikan ini yang berkemungkinan berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengan individu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya mengambil perhatian kejadian tersebut boleh merugikan penternak ikan di negeri ini.

Katanya, penguatkuasaan aktiviti yang dilarang seperti me­nuba bukan lagi di bawah Jabatan Perikanan, sebaliknya diletakkan di bawah Unit Penguatkuasa Bersepadu Negeri Pahang.

“Sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan dan kaedah sungai, aduan boleh dibuat terus kepada unit yang berkaitan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI