PETALING JAYA – Senator Datuk Hisamudin Yahaya (Putrajaya dan Wilayah Persekutuan) memohon agar kerajaan memperkenalkan semula pengecualian sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan di kawasan bandar.
Katanya, dengan kehilangan sumber pendapatan dan wang simpanan yang berkurangan, setiap ringgit amat penting untuk golongan miskin bandar supaya mereka mampu membeli keperluan asas seperti makanan.
“Saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap isu yang saya bangkitkan ini. tempoh pengecualian sewa yang lebih lama juga akan membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Ingatlah majoriti penghuni PPR tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.
Mereka hanya peniaga-peniaga di jalanan. Hakikat yang kita harus terima bahawa gejala miskin-bandar ini lebih sukar hidupnya daripada kemiskinan di pinggir bandar,” katanya dalam Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Hisamudin turut menggesa kerajaan untuk menaikkan jumlah Bantuan Khas Covid-19 bagi membantu meringankan beban rakyat khususnya penduduk miskin di kawasan bandar yang terkesan.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan bantuan sebanyak RM1,300 jauh lebih rendah dengan pendapatan garis kemiskinan purata negara yang berjumlah RM2,208 sebulan.
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila tempoh moratorium akan tamat pada Januari tahun hadapan, yang akan menyebabkan cabaran sebenar dihadapi sebahagian besar rakyat negara ini.
“Golongan miskin bandar di bawah PPR dan rumah kos rendah dilihat antara yang menderita teruk dalam pertarungan Covid-19 ini.
“Mereka bukan saja berdepan dengan masalah pendapatan dan simpanan, malah turut hilang kemampuan untuk membeli keperluan asas,” katanya. -K! ONLINE.