TIRASPOL – Pendatang baharu saingan Liga Juara-Juara (UCL), Sheriff Tiraspol memasang impian untuk terus melakar kejutan dengan memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi menentang Inter Milan awal pagi esok.
Dalam aksi saingan Kumpulan D, Sheriff berjaya muncul sebagai pendahulu apabila meraih enam mata selepas melakar dua kemenangan sebelum ini dengan menewaskan Shakhtar Donetsk serta mengejutkan Real Madrid.
Pasukan dari Moldova itu menundukkan Donetsk 2-0 pada aksi di laman sendiri pada 16 September sebelum mengejutkan Real di Santiago Bernebeu 2-1 dengan gol kemenangan dihasilkan oleh Sebastien Thill seminit sebelum perlawanan berakhir sehingga menyebabkan cabaran yang mampu diberikan oleh Sheriff mula mendapat perhatian.
Skuad kendalian Yuriy Vernydub meraih enam kemenangan daripada lapan perlawanan kelayakan ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, manakala dua lagi aksi berakhir seri.
Kecemerlangan yang dipamerkan oleh pasukan itu menyebabkan mereka kini dilihat memiliki potensi besar untuk mara ke saingan kalah mati sekiranya berjaya menumbangkan Inter di San Siro kali ini.
“Kami masih belum memikirkan mengenai saingan kalah mati. Kami belum melakukan sebarang perkara yang luar biasa setakat ini.
“Masih ada empat perlawanan penting yang kami harus hadapi. Apabila kami sudah berada di perlawanan terakhir peringkat kumpulan, ketika itu kita akan bercakap mengenai pusingan berikutnya,” kata Vernydub.
Sheriff yang bebas daripada sebarang kecederaan pemain akan menurunkan pasukan terkuat untuk berdepan Inter bagi memastikan sekurang-kurangnya mampu untuk membawa pulang satu mata. – AGENSI