LUMUT – Hasrat 21 warga Indonesia masuk secara haram ke negara ini tidak kesampaian apabila enjin bot dinaiki rosak sehingga hanyut dua hari di laut sebelum ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan 15.5 batu nautika barat laut Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk pada pukul 12.21 tengah hari kelmarin.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai sebuah bot mengalami kerosakan, namun pemeriksaan oleh bot Perkasa 1223 mendapati ia adalah bot kayu yang tiada nombor pendaftaran berasal dari Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut menemui 21 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan enam perempuan berusia 17 hingga 61 tahun di dalamnya.
“Berdasarkan siasatan awal kesemua mereka bersama lima tekong bergerak dari Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia,,pada pukul 3 pagi Khamis lalu dan sepatutnya tiba di Sekinchan, Selangor kira-kira 12 jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Penahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan di sini hari ini.
Modus operandi sindiket yang membawa pendatang tanpa izin (PATI) tersebut ialah mereka akan dipindahkan pada bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga Indonesia di sempadan perairan antarabangsa.
“Seterusnya mereka dibawa ke lokasi pantai tertentu di sekitar Sekinchan atau kawasan berhampiran dan pergi ke haluan masing-masing menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Setiap PATI membayar RM1,200 untuk perjalanan sehala dari Indonesia ke negara ini, manakala kru bot nelayan yang terlibat diberi upah RM200 bagi setiap PATI,” ujarnya. -K! ONLINE