PETALING JAYA – Orang ramai menyuarakan kebimbangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan pada 20 November nanti mencetuskan gelombang Covid-19 kepada negara.
Susulan daripada itu, rata-rata pengguna media sosial meluahkan keluhan masing-masing di ruangan komen Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkenaan perkara tersebut.
“Adakah tragedi PRN Sabah bakal berulang? Sama-sama kita saksikan,” tulis Kamarul Ariffin.
“Kenapa Kementerian Kesihatan (KKM) luluskan PRN ini? Tidak belajar dari kesilapan PRN Sabah ke? Kecewa sungguh,” kata Lili Nazrin.
Sementara itu, Fakhrul Barkhaya berkata, dia berharap agar PRN tersebut ditangguhkan buat sementara waktu atau jika perlu diadakan juga prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat harus dilaksanakan.
“Jauh di sudut hati, saya risau sesuatu yang buruk akan terjadi jika proses pilihan raya masih seperti biasa, tambahan pula proses penamaan calon dan berkempen melibatkan perkumpulan sejumlah manusia, bila dah berkumpul agak sukar hendak mengawal penjarakan dan SOP.
“Saya berharap agar pilihan raya ditangguhkan sementara waktu, ataupun jika tetap perlu dilakukan juga, akan ada SOP yang lebih ketat dan di luar jangka,” katanya.
Terdahulu, Noor Hisham memuat naik status di Facebooknya memyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka. – K! ONLINE