fbpx

Bekas pengarah urusan didenda RM145,000 terima suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEUNG Wing Shing (kanan) dibawa keluar daripada mahkamah selepas mengaku bersalah menerima suapan di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Bekas pengarah urusan sebuah syarikat didenda RM145,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM33,850 pada 2019 dan 2020.

Tertuduh, Cheung Wing Shing, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Tertuduh yang juga warganegara Singapura mengaku bersalah atas dua tuduhan pilihan menerima suapan daripada dua individu berbeza pada Julai 2019 dan Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM26,850 daripada seorang pengurus syarikat melalui pindahan wang dalam talian pada 23 Julai 2019 ke akaun syarikat miliknya.

Suapan itu sebagai balasan kepada tertuduh kerana melantik syarikat berkenaan sebagai kontraktor projek pembekalan peralatan dapur di sebuah restoran bernilai RM2 juta yang mana tertuduh mempunyai akses kepada proses pemilihan kontraktor untuk kerja terbabit.

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM7,000 melalui pindahan wang dalam talian pada 14 Januari 2020 daripada seorang pengarah syarikat bagi pembayaran kerugian perjudian.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) Akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Joshua Kevin.

Mahkamah menetapkan jumlah denda RM85,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM60,000 atau enam bulan penjara untuk pertuduhan kedua. Tertuduh membayar denda itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI