fbpx

Agihan komputer bantu pelajar celik IT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOMPUTER dibaik pulih sumbangan Maxis kepada sebuah sekolah di Perak ini diagihkan kepada beberapa keluarga pelajar yang memerlukan.

SYARIKAT telekomunikasi, Maxis meneruskan komitmen untuk memberikan akses internet dan pembelajaran digital dengan menyumbang desktop atau komputer meja terpakai yang telah dibaik pulih di bawah inisiatif #MYBaikHati.

Komputer desktop berkenaan telah diagihkan kepada beberapa sekolah serta pusat komuniti di seluruh negara.

#MYBaikHati merupakan program yang diperkenalkan kerajaan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara termasuk Maxis dalam usaha menggalakkan orang ramai mendermakan peranti terpakai mereka untuk dibaik pulih sebelum diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

Setakat ini, Maxis telah mengagihkan 100 unit desktop dengan adapter Wi-Fi kepada 29 sekolah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, selain 10 desktop ke pusat komuniti program perumahan rakyat (PPR) di Pulau Pinang.

Di samping itu, 310 unit desktop dan komputer riba bakal disumbangkan Maxis di lokasi lain beberapa bulan akan datang dengan Astro Malaysia Holdings Berhad turut menyumbang sejumlah 40 komputer riba bersama Maxis.

Desktop dan komputer riba yang disumbangkan itu akan membolehkan lebih ramai pelajar mendaftar atau mengakses eKelas iaitu satu program komuniti unggul Maxis.

Program eKelas disediakan untuk pelajar yang belajar dari rumah dengan peningkatan aktiviti digital, termasuk sesi YouTube Live, kuiz dan pembelajaran berasaskan permainan.

Syarikat telekomunikasi itu juga telah menyumbang 57 unit telefon pintar Vivo Y12 dan pek SIM Hotlink dengan tambah nilai sebanyak RM90 kepada pasukan petugas khas Kementerian Kesihatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang untuk menyokong keperluan komunikasi mereka.

Sumbangan itu membolehkan pasukan petugas khas termasuk doktor dan kaunselor memantau pesakit positif Covid-19 yang dikuarantin di rumah serta memberi sesi kaunseling maya kepada petugas barisan hadapan.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, pihaknya gembira dapat menyumbang menerusi inisiatif #MYBaikHati bagi membolehkan lebih ramai orang memanfaatkan teknologi.

“Mereka hanya perlukan peranti di tangan atau di atas meja.

SUMBANGAN desktop sangat membantu guru dan pelajar sekolah dalam meneroka bidang teknologi maklumat dengan lebih mendalam.

“Kami berharap untuk meneruskan usaha ini selepas mengenal pasti komuniti yang memerlukan, selain menggalakkan orang ramai untuk menderma peranti yang mereka tidak gunakan lagi di bawah inisiatif ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tembakau, Merlimau, Melaka, Anne Soosay Selvam berkata, sumbangan desktop itu sememangnya sangat membantu.

“Sebagai seorang guru, saya dapat lihat pelajar lebih seronok belajar dengan bantuan alat digital.

“Kami dapat memanfaatkan teknologi untuk melahirkan pelajar yang celik digital, jadi kami mengucapkan terima kasih kepada Maxis atas sumbangan mereka kepada sekolah kami,” katanya.

Guru dari Sekolah Kebangsaan Keting, Bachok, Kelantan, Azmi Aziz pula berkata, dia mengalu-alukan sumbangan ini kerana desktop yang sedia ada tidak berfungsi lagi.

Katanya, ini akan memberi manfaat kepada pelajar kami dan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk menerokai bidang teknologi maklumat secara lebih mendalam.

“Kami menghargai sumbangan Maxis dan usaha mereka yang membolehkan pembelajaran digital di sekolah kami,” katanya.

Inisiatif #MYBaikHati yang diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak Mac tahun ini adalah program sumber awam yang dikendalikan oleh industri telekomunikasi.

Inisiatif ini bertujuan mengumpul dan membaik pulih peranti terpakai, termasuk desktop, komputer riba, tablet dan telefon pintar 4G yang disumbangkan orang ramai.

Peranti tersebut akan diagihkan untuk membantu pelajar daripada keluarga B40 untuk keperluan mereka selain sekolah yang memerlukan desktop tambahan untuk makmal komputer.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI