HULU TERENGGANU – Hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 3 petang semalam menyebabkan sebahagian Kampung Lubuk Periuk di sini dilanda banjir kilat.
Selain laluan jalan raya, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk turut digenangi air bah berikutan limpahan dari air Sungai Peneh berhampiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Lubuk Periuk, Abdul Rasek Ali berkata, banjir kilat tersebut bagaimanapun tidak melibatkan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Banjir kilat mulai surut secara beransur-ansur mulai pada pukul 12 tengah malam tadi. Begitupun, kami penduduk (Kampung Lubuk Periuk) berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE