MELAKA – Seramai 18 individu termasuk pelajar sekolah menengah ditahan selepas dikesan mengadakan parti liar dengan membawa bekalan dadah ganja dan pil ekstasi dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Alai, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.25 pagi itu, kesemua individu ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 24 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil maklumat awam, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah dan Balai Polis Kandang.
Katanya, hasil pemeriksaan, dua lelaki didapati memiliki satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis pil ekstasi seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat dipercayai ganja seberat 2.6 gram.
“Hasil serbuan, kita telah menahan seramai 18 individu selepas dipercayai mengadakan parti liar dengan dua daripada mereka turut membawa pil ekstasi dan ganja.
“Antara yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah dan penuntut institut pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati 13 yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.-K! ONLINE