UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melalui entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) terpanggil untuk melestarikan konsep pertanian bandar atau pertanian moden yang sepatutnya diamalkan oleh komuniti bandar di negara ini.
Cetusan idea itu mengambil kira penglibatan staf dan pelajar pusat pengajian tinggi berkenaan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti berkenaan, Prof. Dr. Arifin Abdu, bidang pertanian adalah cabang penting bagi UPM dan HEPA yang menekankan kepentingan pertanian dalam kampus, selain menjadi pusat rujukan pertanian setempat.
“Terdapat 10 kolej kediaman di UPM dan masing-masing mempunyai tapak untuk menjalankan aktiviti pertanian. Tanpa mengira latar belakang program ijazah, semua pelajar UPM mempunyai peluang untuk merasa sendiri bagaimana untuk bercucuk tanam serta menuai hasilnya.
“Setiap kolej kediaman juga menamakan kumpulan atau tema projek dan menjenamakan produk kelestarian pertanian masing-masing,” katanya.
Menurutnya, salah satu peserta program, Kolej Canselor (KC) memulakan projek penternakan ikan tilapia merah di kawasan lapang dengan mengamalkan konsep kelestarian alam sekitar serta menggunakan barangan terpakai.
Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa khas diwujudkan oleh Majlis Perwakilan Kolej Canselor dan diletakkan di bawah portfolio Naib Presiden Hal Ehwal Warga dan Pertanian bagi memperkasa agenda tersebut.
Pengurusan Kolej Canselor juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi tujuan pembiayaan projek kelestarian pertanian yang diberi nama KC Agro.
“Jawatankuasa ini dipantau oleh pihak pengurusan kolej bagi memastikan projek dapat direalisasikan mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Aktiviti penternakan ikan tilapia merah ini dijalankan bermula Januari lalu menggunakan tangki terpakai yang terdapat di kawasan kolej.
“Pada peringkat permulaan, hanya sebuah tangki digunakan bagi anak ikan tilapia merah. Setelah ikan-ikan itu semakin membesar, tiga tangki tambahan digunakan untuk ternakan.
“Pelajar-pelajar yang terlibat telah menjalani proses pembelajaran in-house training yang sangat berguna,” katanya.
Mereka didedahkan dengan ilmu penternakan ikan dari peringkat awal. Ini termasuk penyediaan kolam, penjagaan kualiti air, pemilihan benih ikan, proses pemakanan, penukaran air, pengkelasan saiz ikan, perakaunan dan seterusnya menuai hasil dengan memasarkan ikan-ikan tersebut.
Jualan pertama ikan dibuat pada 3 Ogos lalu dengan hasil tangkapan 20 kilogram (kg) dan jualan kedua pula 21 dan 22 Ogos berjumlah 30kg.
Bagi memastikan projek pertanian dan penternakan ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik, jadual kerja harian pelajar terlibat telah disediakan.
Catatan-catatan penting diambil untuk rujukan mereka bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Selain memartabatkan agenda kelestarian pertanian yang termaktub dalam Pelan Strategik HEPA 2021-2023, pelaksanaan projek penternakan ikan tilapia merah ini pada asasnya bertujuan untuk memberi pendedahan dan ilmu pertanian serta penternakan kepada pelajar.
Ini khususnya bagi pelajar yang tinggal di Kolej Canselor, selain dapat menerapkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang diperoleh dalam bilik kuliah.
Pengalaman sepanjang mengendalikan projek ini memberikan satu ilmu pengetahuan yang amat bermakna kepada pelajar.
Proses pembelajaran yang 100 peratus berbeza daripada program pengajian formal yang diikuti di kampus memberikan pengalaman berharga kepada semua yang terlibat.
Ilmu yang diperoleh sepanjang proses pertanian lain juga amat bermakna.
Ia boleh memberi nilai tambah kepada pelajar apabila bekerja nanti untuk dimanfaatkan dengan masyarakat di luar sana.