KLANG – Seorang kontraktor pembersihan menawarkan imbuhan RM2,000 kepada mana-mana individu yang dapat mengembalikan semula dua komputer riba miliknya yang dilarikan pencuri yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Kapar di sini semalam.
Mangsa mahu dikenali Afiq, 33, berkata, komputer tersebut sangat penting susulan mempunyai dokumen penting termasuk kertas cadangan untuk projek pembersihannya pada masa depan.
Dakwanya, lebih pelik apabila pencuri tersebut tidak mengambil harta lain di rumah tersebut termasuk barangan kemas.
“Saya berharap sangat agar komputer riba tersebut dapat dipulangkan atau ditemui semula dan disebabkan itu tawaran RM2,000 akan diberikan kepada sesiapa yang membantunya.
“Setakat ini, saya tiada memusuhi sesiapa dan tidak tahu motif sebenarnya dengan hanya komputer riba itu dicuri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bercerita lanjut, Afiq memberitahu dia bersama keluarganya terdahulu pulang ke kampung halaman di Gemas, Negeri Sembilan kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat lalu dengan meninggalkan rumah dalam keadaan berkunci.
Bagaimanapun, katanya, ketika tiba di rumahnya pukul 10 malam semalam didapati pintu gril kunci rumah telah diumpil dengan pemeriksaan lanjut mendapati pintu belakang rumahnya telah dipecahkan suspek.
“Hasil pemeriksaan rumah dalam keadaan tidak berselerak namun didapati barang seperti dua komputer riba masing-masing jenis Dell dan Acer, beg kerja serta dokumen penting telah hilang.
“Nilai kerugian dianggarkan RM4,500 dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Meru pukul 11.01 malam tadi untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. -K!ONLINE