PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menuntut pemain negara terus bekerja keras sekiranya ingin kekal dalam skuad negara.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, kedudukan pemain di dalam skuad negara tidak terjamin kerana BAM sentiasa mengamal dasar terbuka untuk memilih mana-mana pemain terbaik untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Kita akui Ng Tze Yong dan juga Leong Jun Hao bermain dengan baik. Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk tingkatkan lagi mutu permainan mereka pada tahap yang lebih sempurna pada masa akan datang.
“Tetapi, itu tidak bermakna pemain lain tidak mempunyai ruang dan peluang kerana BAM sentiasa membuka pintu dan menerima sesiapa sahaja pemain sahaja dalam skuad negara.
“Jika mereka menunjukan semangat dan prestasi cukup bagus, kita akan bagi peluang. Jadi, pemain-pemain ini sentiasa perlu bekerja keras,” tambahnya.
Dalam pada itu, Choong Hann mengakui banyak perkara perlu diperbaiki selepas saingan Piala Thomas di Aarhus lalu selain pemain perlu bersungguh-sungguh untuk tampil lebih cemerlang pada edisi 2024.
“Kita percaya bahawa skuad negara perlu lebih bersedia untuk edisi yang lebih mencabar tetapi sasaran itu akan diumumkan selepas perbincangan dengan pihak pengurusan.
“Kita juga percaya dengan waktu yang ada, pada ketika itu skuad negara mempunyai peningkatan yang cukup baik terutama bagi perseorangan lelaki dan juga beregu lelaki di Piala Thomas nanti,” katanya.
Aksi skuad negara di Piala Thomas kali ini terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia sekali gus menyaksikan pasukan negara terus kempunan untuk menjulang kejuaraan Piala Thomas selepas 29 tahun.