BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan abangnya menubuhkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat menunjukkan keunikan Malaysia yang mengamalkan demokrasi.
Beliau berkata, tindakan itu bukanlah perkara baharu dalam negara dan beliau sendiri tidak ada sebarang pertelingkahan dengan abangnya.
“Bagi saya itu terserah kepadanya (abangnya), itu adalah amalan demokrasi dalam negara kita dan bukanlah perkara baharu satu keluarga menyertai pelbagai parti politik.
“Tidak timbul isu (pertelingkahan), dulu masa saya jadi wakil calon kepada Tan Sri Sabbaruddin Chik di Parlimen Temerloh dia (abangnya) bertanding Parlimen mewakili Semangat 46,”katanya dalam sidang akhbar pada majlis kenaikan pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bera di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.
Baru baru ini parti baharu dinamakan Parti Penaja Kuasa Rakyat yang diasaskan oleh Kamarazaman Yaakob iaitu abang kandung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilancarkan.
Pelancaran parti itu sekali gus menambahkan satu lagi parti politik yang berbilang kaum di negara ini namun berpaksikan kepada konsep Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda. – K! ONLINE.