Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor berhempas-pulas selama 40 minit bagi menyelamatkan seekor anjing betina yang terjatuh di dalam longkang sedalam hampir lima meter di kawasan Perindustrian Ijok di sini semalam.
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang itu disedari seorang peniaga gerai berhampiran berusia 40-an selepas terdengar salakan anjing tersebut selama 10 minit dari kawasan longkang.
Pegawai Pasukan APM Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, empat anggota termasuk beliau bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pukul 4.44 petang.
Katanya, pihaknya menghadapi kesukaran dalam operasi itu berikutan kedalaman longkang tersebut hampir lima meter.
“Kesulitan turut dialami apabila anjing itu cuba bergerak jauh menuju ke sebuah parit berdekatan dipercayai berasa terancam selepas kehadiran kami.
“Bagaimanapun, anjing itu kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut dalam operasi selama 40 minit itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah beliau, dua anggota kemudiannya memanjat sambil membawa keluar haiwan tersebut dari longkang berkenaan.
Jelas Suzaini, anjing tersebut yang mengalami kecederaan dilepaskan ke kawasan selamat. -K!ONLINE