DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengarahkan kesemua 120 pengusaha rumah bot, rumah rakit dan bot laju di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu agar mematuhi peraturan pemakaian jaket keselamatan dalam kalangan pengunjung.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, pemakaian jaket keselamatan wajib terhadap semua pengunjung sepanjang mereka beriadah di Tasik Kenyir.
Jelas beliau, pengunjung sebenarnya wajib memakai jaket keselamatan bukan sahaja ketika melakukan aktiviti air malah ketika berada di dalam rumah bot.
“Kejadian lemas melibatkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun akibat terjatuh dari rumah bot pada kelmarin amat mendukacitakan.
“Insiden itu boleh dielakkan sekiranya peraturan memakai jaket keselamatan sepanjang berada di Tasik Kenyir walaupun di atas rumah bot diambil berat,” katanya ketika ditemui di Muzium Bukit Besi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian melibatkan Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman, 3, yang lemas akibat terjatuh dari rumah bot sewaktu berlabuh berhampiran kawasan Air Terjun Langsir, Tasik Kenyir pada Jumaat lalu.
Kosmo! hari ini melaporkan sebelum kejadian, mangsa mengikut bapa beriadah bersama rombongan dari Seberang Takir, Kuala Nerus beriadah sambil memancing di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara berkenaan.
Razali berkata, Ketengah sebagai agensi pembangunan dan pengawasan aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir sedang melakukan siasatan dalaman berhubung insiden lemas terbabit. – K! ONLINE