SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
SEREMBAN- Seorang pengarah sebuah politeknik didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan rasuah membabitkan pelantikan syarikat pembekalan dan perkhidmatan serta menerima wang suapan berjumlah RM15,000 pada 2018.
Bagaimanapun, tertuduh, Nazri Idris, 57, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Nazri didakwa menggunakan kedudukannya untuk memilih empat syarikat iaitu Unggul Merah Mewah Resources Sdn. Bhd., Sinar Jaya Niaga Resources, Excellent Shark dan Pasar Segar Adik Nurr yang mempunyai hubungan dengannya.
Syarikat itu dilantik bagi membekalkan perkhidmatan dan pembekalan untuk Bengkel Programmable Logic Controller (PLC) & Internet Of Things, Bengkel Penyelenggaraan Sistem Automasi, menyediakan tenaga pengajar bagi kursus aplikasi PLC dan membekalkan barangan serta komponen bagi kursus berkenaan.
Semua kesalahan itu dilakukan di bilik pengarah Politeknik Nilai, Kompleks Pendidikan Bandar Enstek di antara November hingga Disember 2018.
Nazri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Bagi tuduhan kelima hingga ketujuh, Nazri didakwa menerima RM4,000 dan RM3,000 yang dipindahkan secara online ke dalam akaun Ismail Shamsuddin dan menerima wang tunai RM8,000 yang semuanya daripada Syarikat Tas Solutions Enterprise.
Dia melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, Maybank cawangan TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor dan bilik pengarah Politeknik Nilai dari 15 Disember 2018 hingga 28 Januari 2019.
Syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi pembekalan dan perkhidmatan program-program sama yang dianjurkan politeknik berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan pasport miliknya ditahan.
Nazri yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin dikurangkan dengan alasan mempunyai komitmen yang tinggi, mempunyai anak yang masih bersekolah dan perlu membayar hutang rumah.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Madihah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -K! ONLINE