PETALING JAYA – Kebenaran rentas negeri memberi peluang orang ramai menyerbu lokasi percutian menarik untuk beriadah bersama keluarga selepas hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.
Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata mereka termasuk warga Lembah Klang mengambil kesempatan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan sempena cuti hujung minggu.
Di Port Dickson, seorang pengunjung Zulkifli Ahmad, 57, dari Gombak, Selangor, berkata, dia membawa keluarganya ke pantai peranginan di sini sempena cuti hujung minggu selain permintaan anak-anaknya yang mahu berkelah di pantai.
“Pantai di sini cantik dan selesa, ia sesuai untuk saya membawa anak-anak yang sudah lama tidak keluar. Lagipun, Port Dickson paling hampir dengan Lembah Klang dan tentu memudahkan saya,” katanya.
Di Pulau Pinang, beberapa lokasi tumpuan termasuk Batu Ferringhi dan Bukit Bendera yang sebelum ini sepi kembali meriah dikunjungi pelancong.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Nur Aida Hussin, 24, berkata, dia mengambil kesempatan bercuti bersama tiga lagi rakan selepas sekian lama berhasrat ke negeri ini.
“Walaupun masih berada dalam ancaman pandemik Covid-19, saya akan pastikan kami semua mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan kebersihan.
“Banyak lokasi-lokasi tarikan baharu yang saya belum terokai kerana kali terakhir ke Pulau Pinang sekitar lapan tahun lalu,” ujarnya.
Bagi Rozi Wahab, 30, berkata, dia mengambil peluang untuk berkelah di pantai memandangkan sudah lama tidak melakukan aktiviti bersama keluarga.
Dia yang tinggal di Balik Pulau berkata, walaupun kawasan pantai kembali meriah dengan kehadiran orang ramai, namun dia sekeluarga berhati-hati dengan tidak tertumpu kepada lokasi yang ramai pengunjung.
“Anak-anak yang paling gembira ketika ini kerana mereka telah lama berkurung di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di pantai Teluk Bahang semalam
Dalam pada itu, seorang pengusaha sukan rekreasi pantai, Amirul Hakimi Ahmad, 29, berkata, dia lega apabila perniagaannya dapat kembali beroperasi selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan.
“Jumlah pengunjung agak meningkat dan bolehlah saya dan peniaga lain mencari rezeki selepas lebih lima bulan tidak dapat beroperasi,’’ katanya.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Ghazi Gahazali, 44, berkata, dia mengambil kesempatan untuk bercuti di negeri ini semata-mata untuk menikmati nasi kandar.
“Memang di Kuala Lumpur ada nasi kandar, tetapi orang kata makan di Pulau Pinang lebih sedap kerana rasanya asli, apatah lagi sudah dua tahun saya teringin makan nasi kandar di sini,” ujarnya.
Di Pasir Puteh, Pantai Bisikan Bayu, di sini sesak sejauh satu kilometer dengan kenderaan dipercayai golongan perantau yang mengambil peluang beriadah bersama keluarga.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, selain mengawal lalu-lintas, pihaknya turut membuat pemeriksaan ke atas pengunjung bagi memastikan mereka lengkap dua dos vaksin Covid-19.
Sementara itu, di Melaka, Kedai Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah turut diserbu orang ramai yang sanggup beratur dan menunggu lebih satu jam untuk membeli juadah tradisional popular negeri itu.
Seorang pelanggan dari Kuala Lumpur, Syazatul Aliya Shamsudin, 24, memberitahu, dia dan keluarganya ke Melaka semata-mata untuk menikmati pelbagai juadah popular di negeri ini.
“Kami sampai pukul 10 pagi tadi dan terus kedai asam pedas di Kota Laksama dan kemudian ke kedai keria ini.
“Walaupun cuaca panas, kami tetap mahu membeli kuih berkenaan kerana kali terakhir saya ke sini dua tahun lalu,” ujarnya.