LONDON – Aksi terbaik yang dipamerkan pelumba Perancis, Fabio Quartararo sejak berada dalam kelas perdana MotoGP menyebabkan ramai pihak mula mahu mendekati pelumba Yamaha tersebut.
Lebih menarik, Quartararo yang semakin hampir untuk menjulang gelaran juara dunia sulung di MotoGP itu dikatakan telah ditawarkan kontrak oleh dua pasukan di MotoGP pada musim 2023 nanti.
Perkara itu didedahkan sendiri pengurus Quartararo, Eric Mahe selepas mengakui ada pasukan yang bersedia untuk menawarkan tempat buat pelumba itu itu sebaik sahaja kontraknya berakhir bersama Yamaha pada 2022 nanti.
“Kami telah dihubungi dua pasukan. Buat masa ini kami tiada sebarang perancangan pada 2023, Quartararo akan memutuskan yang terbaik buatnya selepas ini.
“Dia gembira dengan apa yang dicapai pada ketika ini dan apa yang penting kami tidak terburu-buru untuk membuat keputusan. Quartararo masih muda, malah dia memiliki masa depan yang panjang dalam saingan MotoGP,” katanya.
Meskipun tidak menyebut pasukan yang menawarkan kontrak tersebut, namun pasukan gergasi seperti Honda dan juga Ducati dikatakan bersedia untuk membawa masuk Quartararo jika mendapat persetujuan daripada pelumba itu.
Quartararo kini menghampiri Kejuaraan MotoGP Dunia yang pertamanya selepas merangkul lima kemenangan musim ini sekali gus melebarkan penguasaan dalam kedudukan kejuaraan dengan 52 mata. – AGENSI