fbpx

Dua sekeluarga kantoi bawa daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAUFIK (kiri) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas di sekatan jalan raya di Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kegiatan dua sekeluarga yang mengambil upah RM2,000 untuk menyeludup lebih 520 kilogram (kg)daun ketum dari sebuah negeri utara ke Kelantan akhirnya mereka memasuki jerat polis.

Kesemua suspek membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 67 tahun itu diberkas dalam sekatan jalan raya di Kampung Kundur di sini kira-kira pukul 4.30 pagi pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pemeriksaan kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki suami berusia 27 tahun bersama isterinya yang merupakan warga Thailand berusia 25 tahun membawa kepada penemuan 17 plastik sampah berwarna hitam berisi 170 kg bungkusan daun ketum.

Katanya, pemeriksaan terhadap sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki seorang lelaki berusia 30 tahun bersama bapa mentuanya berusia 67 tahun telah menjumpai 35 plastik sama berisi 350 kg daun ketum di tempat duduk belakang dan bahagian bonet belakang kenderaan.

“Mengikut maklumat yang diterima, pasangan suami isteri itu disyaki tonto yang memilih laluan Simpang Pulai, Ipoh ke Gua Musang untuk menyeludup daun ketum.

“Keempat-empat suspek terkejut selepas berdepan dengan pemeriksaan di kawasan sekatan jalan berkenaan sebelum mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, laluan Tanah Tinggi Lojing ke Gua Musang sering dijadikan laluan pengedar yang menyeludup daun ketum dari negeri utara untuk ke Kelantan.

Katanya, situasi itu menyebabkan pihak polis mengadakan sekatan jalan raya secara kerap di kawasan itu.

“Mengikut maklumat, daun ketum dibeli pada harga RM10 dan dijual di negeri ini sebanyak RM40 sekilogram.

“Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas empat suspek mendapai mereka negatif sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Mohd. Taufik berkata, pihaknya juga mengenalpasti 10 laluan jalan kampung dari Lojing ke Kampung Kundur yang menjadi laluan pengedar daun ketum.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI