LARUT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti terlebih dahulu setiap laporan polis yang dibuat terhadap golongan antivaksin sebelum sebarang tindakan diambil.
Ini termasuk melihat peruntukan undang-undang serta kesalahan yang dilakukan golongan itu sebelum tindakan akan dibuat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata, pihaknya akan melihat secara menyeluruh laporan polis yang diberikan kepada pihaknya.
“Sebagai seorang menteri yang menjaga penguatkuasaan undang-undang sedia ada, kita akan lihat dahulu laporan polis yang diberikan kepada kita.
“Misalnya hendak tahu dalam seksyen mana, apa kesalahan yang mereka lakukan dan kemudian barulah saya akan umumkan dari masa ke semasa,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan program Penyampaian Kotak Makanan Serta Ramah Mesra Bersama Penduduk di Kampung Sungai Ara, Kubu Gajah dekat sini hari ini.
Ditanya adakah akta baharu berhubung golongan antivaksin akan diwujudkan, beliau menegaskan, perkara itu akan diumumkan kemudian.
Terdahulu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.
Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin. -K! ONLINE