KOTA BHARU – Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) bagi Pakej 2B sejauh 6.2 kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas di sini mengalami kelewatan selama dua bulan apabila pembinaannya dijangka siap pada bulan Mei tahun depan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek dalam pakej itu ketika ini sudah siap sebanyak 76 peratus dan pembinaannya masih sedang dijalankan ketika ini.
Menurutnya, Pakej 2B KBKK itu sepatutnya akan siap pada bulan Mac tahun depan, namun pembinaannya terpaksa dilanjutkan selepas perbincangan dengan pihak kontraktor dijalankan.
“Penambahan tempoh masa pakej ini terpaksa dilakukan selepas meneliti keadaan semasa termasuk cabaran pembinaan semasa musim tengkujuh, pengambilan tanah dan pandemik Covid-19.
“Pihak kontraktor yang dilantik telah memberi jaminan untuk menyiapkan projek Pakej 2B pada bulan Mei. Jadi, kita perlu mencari jalan untuk membantu pihak Jabatan Kerja Raya dan kontraktor terlibat bagi memastikan projek ini siap dalam tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Projek Membina Lebuh Raya Kota Bharu Ke Kuala Krai Pakej 2B (Ketereh Ke Kok Lanas) di Ketereh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Fadillah, meskipun mengalami kelewatan projek dalam Pakej 2B, ia tidak melibatkan penambahan keseluruhan kos pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan KBKK iaitu RM9.5 bilion.
Katanya, setakat ini, masalah berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek itu sudah selesai dan pihaknya kini sedang fokus untuk menyiapkan projek CSR dan KBKK pada hujung tahun 2025.
“Bagi projek KBKK sehingga 30 September, 13.9 kilometer daripada 67.6 kilometer iaitu 21 peratus melibatkan Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok dan Pakej 2A dari Kadok ke Ketereh sudah siap.
“Bagi pelaksanaan projek KBKK pada tahun ini, kerajaan telah memuktamadkan proses perolehan untuk tiga lagi subpakej melibatkan Pakej 2C iaitu Kok Lanas ke Machang dan Pakej 3A Machang ke Bukit Tiu sepanjang 19.13 kilometer dilaksanakan dalam satu kontrak,” katanya. -K! ONLINE