SHAH ALAM – Pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas akibat kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) kini telah mencapai 99 peratus.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) berkata, peratusan pemulihan itu dicatatkan setakat pukul 9 pagi dengan enam wilayah telah pulih sepenuhnya.
Katanya, ini meliputi Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.
“Peratusan pemulihan bagi Kuala Lumpur ini kini berada di tahap 99.8 peratus dan Klang 99.4 peratus.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Air Selangor mengumumkan sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 13 Oktober lalu.
Berdasarkan pengumuman sebelum ini, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam ini.
Pelaksanaan kerja berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna selepas tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan tahun lalu. -K!ONLINE