PETALING JAYA – Aliran trafik di laluan utama lebuh raya pada pagi ini masih dalam keadaan lancar.
Menurut laporan trafik Lembaga Lembuh Raya Malaysia (LLM) di laman Twitter rasminya, keadaan trafik juga masih terkawal termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Sungai Dua, Juru dan Plaza Tol Jalan Duta.
Sementara itu di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS)@E1 pula, satu kemalangan treler telah berlaku pagi tadi di kilometer 198.7 arah utara (Taiping Utara-Bukit Merah).
Susulan kemalangan itu juga, lorong kanan terpaksa ditutup bagi kerja-kerja pengalihan treler.
Bagaimanapun, kerja pengalihan treler berkenaan telah selesai dan trafik di lokasi kini kembali lancar dan terkawal.
Pada 10 Oktober lalu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat negara ini yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan itu rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya. -K! ONLINE