fbpx

Isteri frontliner minta cerai sebab suami sibuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DISEBABKAN permintaan terhadap perkhidmatan ambulans terlalu banyak kala pandemik, Amir, adakalanya perlu mengambil peranan memandu ambulans. – Gambar hiasan

IKATAN perkahwinan yang terjalin selama hampir sedekad antara Amir dan Diana (bukan nama sebenar) akhirnya bertemu noktahnya.

Perceraian tersebut berlaku ekoran rasa tidak puas hati Diana terhadap Amir yang dianggap terlalu komited dengan pekerjaan.

Sepanjang perkongsian hidup, pasangan yang menetap di Lembah Klang itu tidak dikurniakan zuriat.

Amir merupakan pemilik merangkap pemandu sebuah syarikat penyedia perkhidmatan ambulans di ibu kota, manakala Diana pula berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Sebagai pemilik syarikat itu dan pemandu ambulans, tugas harian Amir sangat padat.

Dia bukan sahaja perlu menguruskan urusan di pejabat, malah membantu orang yang berada dalam kesusahan.

Ada ketikanya, Amir pulang ke rumah pada tengah malam dan terpaksa keluar semula awal pagi sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.

“Kerja seperti saya ini tidak tentu masa. Saya perlu uruskan hal di pejabat serta memandu ambulans sekiranya terlalu banyak permintaan.

“Hendak harapkan pekerja, mereka pun tidak menang tangan. Tidak sangka pula, kesibukan saya itu membawa kepada perceraian kami,” ujar Amir sewaktu ditemu bual baru-baru ini.

Imbas pemuda berasal dari Ampang, Selangor itu, pergolakan dalam rumah tangganya bermula apabila pandemik Covid-19 melanda negara.

Dia memaklumkan, sepanjang tahun lalu, permintaan terhadap perkhidmatan ambulans meningkat secara mendadak terutamanya daripada mereka yang disahkan positif Covid-19.

“Selama saya hidup dengan Diana, kami berdua bahagia dan saling memahami tugas masing-masing. Disebabkan Covid-19 melanda negara, kerja saya sebagai seorang yang boleh dianggap frontliners atau petugas barisan hadapan kian bertambah dan hampir tiada masa di rumah.

“Permintaan terhadap ambulans meningkat begitu mendadak. Kami terima banyak permintaan untuk menghantar pesakit Covid-19 ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Ekoran itu, Diana sering berkecil hati dengan Amir yang terlalu komited dengan kerja sehingga membiarkan dirinya tinggal keseorangan di rumah.

Apabila pulang ke rumah, Diana kerap mempersoalkan tugas Amir sehingga membawa kepada pertengkaran.

“Diana seperti tidak faham kerja saya. Dia mahu saya duduk di rumah pada hujung minggu dan menghabiskan masa bersamanya. Malangnya, kerja macam saya ini tidak menentu. Ditambah pula, penularan kes Covid-19 agak serius ketika itu dan ramai memerlukan perkhidmatan ambulans,” tegasnya.

Pertengkaran antara mereka sampai ke kemuncaknya selepas Amir tidak pulang ke rumah selama tiga hari disebabkan tugas.

Selain itu, Amir turut bimbang virus maut itu menjangkiti isterinya kerana pekerjaannya berisiko untuk dijangkiti.

Situasi tersebut membuatkan Diana yang tidak mampu lagi bersabar naik angin serta meminta supaya Amir segera melepaskannya kerana tidak tahan lagi dengan keadaan itu.

“Saya ini seorang yang banyak bersabar dan bertolak ansur. Saya bukan tidak mahu pulang ke rumah ketika itu, tetapi saya bimbang dijangkiti virus dan membawanya ke rumah.

“Justeru, saya pilih untuk tinggal di tempat kerja sementara menunggu keputusan ujian calitan Covid-19. Tetapi, dia anggap saya sengaja berbuat demikian,” tegasnya.

Selepas kerap diasak oleh Diana serta keadaan emosinya yang terganggu, akhirnya Amir memilih untuk menceraikan isterinya menerusi panggilan telefon.

Jelas Amir, sewaktu dia memberi penerangan mengenai situasinya, Diana seperti tidak boleh menerima alasan diberikan sehingga membuatkan Amir akhirnya hilang pertimbangan.

Amir telah menceraikan Diana dengan talak satu menerusi panggilan telefon itu sebelum membuat pengesahan di mahkamah syariah dua minggu kemudian.

“Sewaktu perbicaraan di mahkamah syariah, hakim menasihati mereka bahawa dalam perkahwinan perlu ada tolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.

“Saya tidak menyalahkan Diana 100 peratus terhadap perceraian ini. Saya juga sedar kekurangan diri ini,” tegasnya.

Ketika ini, Amir kekal menduda dan belum memikirkan untuk mencari pengganti kerana bimbang bakal isteri tidak memahami bebanan kerjanya yang masih tinggi kala ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI