GEORGE TOWN – Orang ramai yang akan mengunjungi negeri ini boleh menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau jambatan kedua Pulau Pinang bagi mengelakkan kesesakan.
Ia berikutan trafik ke negeri ini dijangka mengalami kesesakan dengan kehadiran pengunjung selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri bermula Isnin lalu.
Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keadaan trafik dijangka meningkat bermula hari ini sehingga Selasa depan berikutan cuti umum sempena Maulidur Rasul.
“JKSB telah bersedia dari segi operasi dengan menyediakan lapan lorong tol yang merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch N Go dan RFID bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan para pengguna.
“JSAHMS bertindak sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama di pulau seperti Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan George Town,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut menambah, JSAHMS menghubungkan secara terus Batu Kawan di Seberang Perai ke bahagian utama di pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
“Para pengguna akan sampai ke kawasan itu dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius.
“Tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain, tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna ia merupakan alternatif terbaik,” kata kenyataan itu lagi.
JSAHMS merupakan jambatan kedua yang menghubungkan kedua-dua bahagian di negeri ini dengan kepanjangan 16.9 kilometer di atas laut. – K! ONLINE