KLANG – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengeluarkan arahan baharu mewajibkan majikan mencarumkan pengawal keselamatan mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini berikutan sektor tersebut didapati paling banyak tidak dicarum pekerjanya selain Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kontraktor sekolah serta pembersihan.
“Saya terima banyak aduan apabila tukar majikan namun pengawal keselamatan yang dikekalkan tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau EPF dan Perkeso.
“Justeru, saya akan berbincang dengan KDN supaya tidak kira pengawal keselamatan itu bekerja sama ada sehari atau sebulan, pastikan mereka diberikan jaringan keselamatan.
“Saya bagi amaran kepada syarikat keselamatan pastikan pengawal atau pekerja mereka dibela dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan sumbangan Perkeso kepada tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pengawal keselamatan adalah sektor penting kerana tugas atau tanggungjawab mereka adalah menjaga keselamatan orang.
“Namun, diri mereka sendiri (pengawal keselamatan) tidak selamat (tanpa caruman Perkeso).
“Tiada kompromi berkaitan. Lagipun, caruman kurang daripada RM20 sahaja dan kita makan pun tidak sampai jumlah itu. Tolonglah,” katanya.
Ketika ditanya pemberita sama ada pihaknya akan melakukan sebarang operasi berkaitan, Saravanan menegaskan pihaknya akan lebih agresif.
“Saya baharu buat pengumuman, tunggulah dulu (operasi majikan culas membayar caruman pengawal keselamatan),” tegasnya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan pihaknya turut menerima beberapa aduan atau kes terdapat majikan melakukan pemotongan caruman Perkeso namun tidak diterima kepada agensi itu.
“Ada orang kerja media pun tiada potongan caruman dan akan minta Perkeso mempergiatkan penguatkusaan,” katanya. – K!ONLINE