fbpx

Giliran Ashira, suami pula dikunjungi Ebit Lew

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kunjungan Ebit Lew ke kediaman Ashira dan suami, Bad bagaikan satu rahmat buat mereka berdua.

PETALING JAYA – Tiada apa yang mampu diungkapkan penyanyi Ashira dan suaminya, Bad Indigo selain rasa kesyukuran selepas dikunjungi pendakwah terkenal, Ebit Lew di kediamannya semalam.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Ashira turut berterima kasih atas kehadiran Ebit meluangkan masa menziarahi suaminya yang kini diuji dengan masalah kesihatan.

“Alhamdulillah, Subhanallah, Allahuakbar. Allah hadirkan rezeki dalam pelbagai cara. Hari ini (semalam) tumpang rezeki suami. Dapat jumpa Ustaz Ebit Lew yang datang ziarah Bad di rumah.

“Selalu berkata-kata, bilalah dapat berjumpa insan hebat ini, alhamdulillah Allah makbulkan. Berkaca mata dengar ceramah Ustaz, Allah terima kasih atas rezeki ini,” tulisnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Ombak Resah itu turut menitipkan doa dan kesejahterasn buat Ebit Lew dan semua insan yang mendoakan keluarga mereka.

Pada hantaran berbeza kelmarin, Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkongsi ucapan dan doa istimewa buat suaminya sempena ulang tahun kelahiran ke-46 agar sentiasa kuat menghadapi dugaan hidup.

Ashira, 37, turut mengakui reda dengan setiap dugaan dan ujian yang telah diatur oleh Allah SWT untuk dia dan suami.

“Hidup kita mungkin tidak berjalan seperti apa yang dirancang. Tapi perjalanan hidup ini berjalan seperti mana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Apa pun, Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Jadi kita harus terus berdoa. Semoga diberikan kesembuhan sepenuhnya, panjang umur, diperluaskan pintu rezeki dan bahagia dunia akhirat,” tulisnya.

Terdahulu, sekitar dua minggu selepas mendirikan rumah tangga, Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kirinya.

Bad kemudian dimasukkan sekali lagi ke hospital pada 9 Mei bagi menjalani pembedahan memotong tiga lagi jari kaki bagi mengelakkan bakteria merebak.

Bagaimanapun pada September lalu, semua jari kaki sebelah kiri anggota kumpulan Indigo itu terpaksa dipotong akibat kencing manis kronik.

Malah penyanyi itu mengakui memerlukan biaya yang banyak untuk rawatan susulan penyakit yang dihidapinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI