fbpx

Periksa kesihatan diri, elak kematian mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEREKA yang aktif bersukan juga berisko tinggi untuk mati mengejut disebabkan beberapa faktor. – GAMBAR HIASAN

KEMATIAN secara mengejut pada usia muda tidak lebih 35 tahun sebenarnya amat jarang berlaku.

Jika terdapat kes seperti itu, biasanya disebabkan oleh pembentukan jantung yang tidak normal sejak dilahirkan.

Selain itu, kematian mengejut turut berlaku kepada orang muda semasa menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan.

Hakikatnya, isu mati mengejut sewaktu menjalankan aktiviti fizikal bukan satu perkara baharu, malah sudah beberapa kes dilaporkan oleh media massa sebelum ini.

Dalam hal ini, kaum lelaki lebih terdedah untuk mendapat masalah tersebut berbanding wanita.

Persoalannya, apa yang menjadi penyebab utama masalah kematian mengejut pada usia muda?

Kebanyakan kes kematian disebabkan kegagalan jantung berlaku pada umur lebih 40 tahun, terutamanya kepada pesakit yang mempunyai masalah salur darah tersumbat ataupun atherosclerosis.

Bagaimanapun, masalah kematian secara mengejut atau sudden cardiac death lebih kerap berlaku dalam kalangan atlet muda.

PEMBENTUKAN jantung tidak normal juga boleh menjadi penyebab utama kematian mengejut. – GAMBAR HIASAN

Secara umumnya, mengikut data dari Amerika Syarikat, seorang daripada 50,000 atlet mempunyai risiko untuk mendapat kematian mengejut pada usia muda.

Pelbagai sebab dikaitkan mengapa atlet muda berisiko tinggi untuk mati mengejut, namun masalah pembentukan jantung tidak normal adalah menjadi penyebab utamanya.

Apabila jantung tidak normal, ia boleh menyebabkan rentaknya menjadi kurang stabil dan tidak terkawal atau ventricular brillation.

Ini merupakan punca utama menyebabkan kematian secara mengejut dalam kalangan atlet muda.

Selain itu, masalah ini juga boleh berlaku disebabkan Hypertrophic cardiomyopathy (HCM).

Ia adalah masalah keturunan yang mana otot jantung membesar secara tidak normal dan merosakkan sistem litar elektrik jantung.

Ini membuatkannya berdenyut secara laju dan tidak sekata dan boleh menyebabkan kematian.

Masalah HCM menjadi punca utama kematian mengejut untuk pesakit di bawah umur 30 tahun.

Dalam pada itu, pembuluh darah jantung yang tidak normal juga boleh menjadi punca kepada masalah ini.

Sesetengah orang memang dilahirkan dengan pembuluh darah jantung yang tidak normal.

Pembuluh darah boleh tertekan semasa bersenam lalu menyebabkan pengaliran darah ke otot jantung berkurangan.

DENYUTAN jantung secara laju dan tidak sekata juga boleh menyebabkan kematian.-GAMBAR HIASAN

Pada masa sama, Long QT syndrome juga antara penyumbang kepada pertambahan kes kematian secara tiba-tiba.

Ia merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan jantung berdenyut dengan laju dan tidak seragam.

Pesakit yang mempunyai masalah ini ini mempunyai risiko tinggi untuk mati dalam keadaan mengejut.

Persoalan yang sering diutarakan, bolehkah kematian secara mengejut di usia muda dielakkan?

Kebiasaannya, mereka yang berisiko tinggi, doktor akan menasihati mereka untuk tidak melakukan aktiviti sukan yang berat.

Rawatan seperti ubat atau pembedahan akan dilakukan berdasarkan jenis penyakit yang dialami supaya risiko untuk mendapat kematian mengejut dapat dikurangkan.

Kebanyakan pesakit HCM akan dimasukkan alat picu jantung atau implantable cardioverterde brillator supaya ia dapat memantau rentak jantung setiap masa.

Jika rentak jantung menjadi sangat laju dan tidak sekata, kejutan elektrik akan diberikan untuk memulihkannya.

Siapa yang perlu melakukan pemeriksaan perubatan?

Pemeriksaan elektrokardiogram adalah antara ujian yang boleh dibuat di mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia.

Bagaimanapun, jika ujian didapati negatif, ia tidak menolak 100 peratus pesakit tidak mempunyai masalah jantung.

Jika ujian positif, maka ujian lain akan dilakukan untuk memastikan diagnosis adalah tepat dan rawatan terbaik boleh diberikan kepada pesakit.

Jika ada terdekat yang mati secara mengejut pada umur bawah 40 tahun, semua ahli keluarga terdekat seharusnya menjalani pemeriksaan jantung di fasiliti kesihatan.

Ini bagi memastikan ahli keluarga yang lain tidak mengalami penyakit yang sama.

———————————————————————————————————–

DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI