PADANG BESAR – Jabatan Warisan Negara (JWN) akan mewartakan kawasan di Bukit Keteri, Chuping dekat sini sebagai tapak warisan susulan penemuan fosil tulang dan tengkorak manusia dipercayai dari zaman prasejarah.
Fosil tulang dan tengkorak manusia itu dianggarkan berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun.
Usaha yang sama juga akan dilakukan di Gua Semadong dekat sini berikutan penemuan lukisan dinding gua zaman proto sejarah.
Pesuruhjaya JWN, Mohd. Azmi Mohd. Yusof berkata, penemuan terbaharu itu adalah hasil daripada eksplorasi JWN, kerajaan negeri dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis.
Katanya, perkara tersebut membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah, ribuan tahun dahulu.
“Penemuan ini adalah bukti-bukti terbaharu selain bahan sejarah lain seperti candi di Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.
“Lukisan di dinding Gua Semadong berbentuk haiwan seperti lembu, gajah, ular, mawas dan manusia menunjukkan ada pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi,” katanya selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong di sini hari ini.
Mengulas mengenai proses mewartakan lokasi tersebut, proses itu bergantung kepada kerajaan negeri dan pusat. – K! ONLINE