TONGGAK tengah Kuala Lumpur City (KL City), Kenny Pallraj bertekad untuk meneruskan momentum dalam usaha membantu pasukannya tampil cemerlang pada kempen Piala Malaysia selepas pulang daripada tugasan bersama skuad Harimau Malaya.
Sebagai rekod, Kenny dianggap sebagai salah seorang pemain yang wajar diberikan pujian selepas mempamerkan aksi positif di bahagian tengah pada aksi persahabatan bertemu Uzbekistan minggu lalu meskipun skuad negara tewas 1-5.
Kata Kenny, skuad Warga Kota memiliki peluang untuk mencipta kejutan dengan meletakkan sasaran untuk melangkah jauh pada kempen Piala Malaysia kali ini di bawah sentuhan pengendali, Bojan Hodak.
“Saya memang puas dan gembira apabila dapat menyarung jersi kebangsaan pada aksi antarabangsa menentang Uzbekistan minggu lalu. Cuma, memang banyak perkara lagi perlu diperbaiki selepas ini dan saya tidak boleh mendabik dada.
“Selepas tamat tugasan bersama skuad Harimau Malaya, sudah tentu tumpuan diberikan pada kempen Piala Malaysia pula dan secara peribadi, saya sangat berharap dapat membantu KL City mara ke pentas final musim ini.
“Saya akui pengalaman manis membantu Perak bergelar juara pada aksi final epik dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) di pentas final masih dirasai dan saya mahu melalui detik itu bersama KL City,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
KL City kini menduduki tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata, manakala Sarawak United yang menang dua perlawanan berturut-turut di kedudukan teratas.
KL City sebelum ini berjaya menewaskan Sri Pahang 3-1 sebelum terikat dengan Penang FC pada aksi peringkat kumpulan bulan lalu.