SHAH ALAM – Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman menjadi antara individu terawal menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyahut baik seruan Menteri
Kesihatan, Khairy Jamaluddin dengan pemberian dos berkenaan.
“Susulan itu, Pengarah Kesihatan negeri (Sha’ari) antara penerima awal suntikan penggalak tersebut.
“Ia kemudian disusuli seramai 29 anggota petugas kesihatan lain di Hospital Shah Alam,” katanya.
Tambah kenyataan itu, dos penggalak itu bagi memastikan perlindungan yang lebih optimum kepada Covid-19.
“Ia selaras dengan penyusutan perlindungan vaksin terutama bagi golongan berisiko tinggi,” ujarnya.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan proses dos penggalak kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta anggota barisan hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan optimum diperoleh penerima vaksin di negara ini.
Ia melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu iaitu individu tersebut akan menerima vaksin sama. -K!ONLINE