fbpx

Duit Yayasan Akalbudi beli hotel dipertikai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam 47 pertuduhan membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempersoalkan bagaimana sebuah hotel di Bali, Indonesia boleh membantu menghapuskan kemiskinan di negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika berhujah mengatakan sebanyak RM8,602,920 telah dikeluarkan oleh firma guaman Lewis & Co bagi tujuan pembelian hotel di Bali selepas anak perempuan Ahmad Zahid, berminat untuk melabur dalam Ri-Yaz Assets Sdn. Bhd.

Menurut saksi yang juga peguam firma guaman itu, beliau diarahkan berbuat demikian oleh tertuduh (Ahmad Zahid).

Wang RM8.6 juta itu merupakan sebahagian daripada RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi yang telah dipindahkan ke akaun Lewis & Co.

“Diandaikan RM17.9 juta itu diambil bagi tujuan pelaburan bagi pihak Yayasan Akalbudi, kenapa ia perlu dipindahkan dari satu akaun ke akaun yang lain yang merupakan akaun sebuah firma guaman. Jika betul pelaburan, kenapa tidak dibiarkan sahaja dalam akaun semasa Yayasan Akalbudi.

“Diandaikan dalam situasi yang indah, pembelian sebuah hotel butik di Bali adalah bagi tujuan pelaburan bagi pihak Yayasan Akalbudi tetapi bagaimana sebuah hotel di Indonesia boleh membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia,” soal Raja Rozela.

Tambahnya, walaupun kesemua pemegang amanah dalam Yayasan Akalbudi bersetuju dengan pelaburan tersebut, ia tetap dianggap sebagai penyalahgunaan kerana Yayasan tidak diwujudkan bagi tujuan tersebut.

Ahmad Zahid, 69, didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.

Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Squareh bersambung lagi Isnin ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI