fbpx

Berhijab tidak halang Vicha berlakon, berlawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH bersama Saywho, Masin dan JBorn, Vicha kini ada pakatan baharu iaitu Puteh sandaran beraksi dalam MLM edisi 2021.

BIARPUN telah tampil dengan imej berhijab sejak Ogos lalu, pelawak dan pelakon Vicha Saywho menegaskan dia masih boleh berlawak serta berlakon seperti biasa.

Buat pertama kali tampil dengan imej terbaharunya di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021), Vicha atau nama sebenarnya, Refika Novianti Faturohman itu berkata, hijab sama sekali tidak membataskan kreativitinya dalam pertandingan tersebut.

Akui pelawak yang berasal dari Indonesia itu lagi, meskipun sempat berasa gusar tentang keputusannya untuk berhijab kerana bimbang rezekinya berkurangan, dia tetap membulatkan hati melakukan penghijrahan kerana Allah.

Apa yang mengejutkan Vicha, sejak berhijab rezekinya semakin mencurah-curah berbanding sebelum ini.

Dalam MLM2021 yang akan mula bersiaran pada 15 Oktober ini, Vicha akan bergandingan dengan kumpulan Puteh yang turut dianggotai oleh Mamak dan Ali.

KOSMO!: Adakah Vicha masih selesa untuk melawak di pentas MLM2021 selepas berhijab?
Vicha: Biarpun sudah berhijab saya masih Vicha yang sama. Saya mengaku agak bimbang memandangkan ini kemunculan pertama saya di pentas MLM2021 selepas berhijab.
Namun, saya fikir niat saya hanya mahu menghiburkan orang. Apa yang berlaku di atas pentas hanyalah lakonan.
Saya beritahu Ali dan Mamak, jangan takut untuk beri sebarang watak kepada saya. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik.

Selepas berhijab, terdapat batas-batas yang perlu dijaga. Sebagai pelawak dan pelakon adakah anda meletakkan sebarang syarat?
Selepas tampil dengan imej berhijab memang ada batas-batas yang perlu dijaga. Cuma urusan saya dengan Allah adalah perkara peribadi. Soal pekerjaan selaku pelawak serta pelakon yang mana masih wajar dilakukan, saya tidak ada sebarang masalah.
Maksudnya, saya sendiri tahu batasan yang perlu dijaga. Orang sekeliling juga sekarang sudah memahami batasan pelakon berhijab.

Adakah anda akan menolak tawaran yang memerlukan lakonan romantis dan berpegangan tangan?
Meskipun sudah berhijab saya tiada sebarang masalah untuk melakonkan watak perlu bercinta atau pun adegan romantis.
Cuma dalam MLM2021, apa yang menjadi kebimbangan saya adalah kami semua perlu melawak dan berlakon sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kami perlu melawak dan berlakon dalam keadaan menjaga jarak, jadi saya agak takut dan tidak tahu bagaimanapun situasi babak di atas pentas nanti akan berjalan.

Mengapakah anda berasa gusar pada peringkat awal berhijab?
Sejujurnya, ketika mula-mula mahu berhijab saya diselubungi perasaan gusar sebab saya pelawak. Terfikir nanti pasti susah untuk dapat tawaran kerja.
Namun, saya tetap teguh dengan keputusan dan berdoa agar urusan saya dipermudahkan Allah.

Alhamdulillah tidak disangka selepas berhijab saya dapat banyak tawaran lain.
Sekarang stesen televisyen seperti Al Hijrah dan Naura juga telah mula panggil saya. Bahkan tawaran kerja yang diterima semasa saya belum berhijab juga masih diteruskan, tidak ada produksi yang menolak saya meskipun sudah berubah imej.
Saya yakin dengan keputusan dan niat kerana Allah pasti akan ada jalan. Sekarang saya juga masih berbincang untuk beberapa projek lain.

Apakah perancangan anda untuk persembahan bersama kumpulan Puteh dalam MLM2021?
Saya bersyukur sebenarnya kerana tidak sangka akan mendapat tawaran untuk menyertai kumpulan Puteh. Soal kelainan, sebelum ini saya pernah bersama Saywho, Masin, JBorn dan kali ini Puteh.

Setiap kumpulan memiliki perbezaan dan konsep mereka yang tersendiri. Apatah lagi MLM2021 agak berbeza kerana pesertanya berubah dengan ketara.
Ditambah dengan SOP ketika di atas pentas, jadi saya sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku.
Cuma saya mengharapkan penonton akan terhibur dengan lawak daripada kumpulan Puteh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI