KLANG – Kecekapan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menyalurkan bantuan bekalan air membolehkan operasi pusat dialisis di sekitar daerah ini berjalan dengan lancar.
Pengurus Pusat Dialisis Mukmin, Muhd. Yazid Mohd. Rasip berkata, Air Selangor telah menjalankan kerja pengagihan air yang lebih baik berbanding krisis yang berlaku sebelum ini.
“Sekiranya memerlukan bekalan air, saya cuma perlu hubungi mereka dan Air Selangor akan hantar bekalan air menggunakan lori secepat mungkin.
“Situasi ini sekaligus tidak menjejaskan rawatan dialisis yang dijalankan pesakit,” katanya ketika ditemui di pusat dialisis itu di Taman Sri Andalas, di sini hari ini.
Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, kerja penyelenggaran serta penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di Bukit Badong, Kuala Selangor siap sepenuhnya pukul 9 malam tadi.
Justeru, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat bermula 5 petang ini di 998 kawasan terjejas di seluruh Lembah Klang.
Sementara itu, Pembantu Pegawai Perubatan Sri Andalas Dialisis, Aini Zuhairah Mohamed Yatim memberitahu, pihaknya tidak mengurangkan jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan dialisis memandangkan Air Selangor sentiasa menghantar air apabila diperlukan pihaknya. – K! ONLINE