PUTRAJAYA – Institusi perbankan tempatan bakal memperuntukan dana RM1 bilion bagi membiayai Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dikelolakan oleh sektor itu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan bagi program ini akan dibuka kepada awam dari 15 November ini hingga 31 Januari tahun depan.
“Kementerian Kewangan mengalu-alukan URUS oleh sektor perbankan yang akan ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan program itu yang dilaksanakan dalam masa terdekat untuk mereka berpendapatan kurang RM5,880 sebulan.
URUS dirangka sektor perbankan bersama-sama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi bayaran balik pinjaman komprehensif.
Manfaat program tersebut akan merangkumi pengecualian faedah untuk tempoh tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran sehingga 24 bulan dan penurunan kadar faedah pinjaman.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, para pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga mendapat manfaat untuk bantu meringankan beban kewangan. – K! ONLINE.