KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan memastikan tiada pihak yang tercicir menerima vaksin Covid-19 menerusi program ‘outreach’ di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini sudah 85 peratus populasi dewasa daripada 1.175 juta penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dos pertama.
“Kami percaya masih ada yang belum menerima vaksin kerana belum mendaftar disebabkan kekangan teknologi, tinggal di kawasan pedalaman, tiada liputan internet atau telefon dan sebagainya.
“Kita akan mencari dan mendekati golongan terbabit melalui program ‘outreach’ kerana kita mahu mereka ini juga mendapat suntikan vaksin Covid-19 sekali gus peratus imuniti berkelompok dapat dicapai sepenuhnya,”katanya dalam sidang akhbar selepas melawat program vaksinasi Covid-19 bersama gelandangan dan rentan di Surau Al- Hidayah Komuniti Wong Ah Jang di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai program vaksinasi kepada komuniti di kawasan Wong Ah Jang, Nor Azimi menjangkakan seramai 100 gelandangan dan rentan terdiri daripada populasi dewasa dan remaja akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program itu.
Menurutnya, berdasarkan rekod seramai 1,286 remaja di seluruh Pahang adalah kumpulan tercicir yang terdiri daripada gelandangan, orang kelainan upaya dan mereka yang tidak bersekolah. – K! ONLINE.