KUANTAN – Hasrat seorang peneroka Felda mahu memulakan perniagaan dengan membuat pinjaman peribadi tidak kesampaian apabila dia ditipu dengan tawaran pinjaman tidak wujud sehingga mengalami kerugian RM3,820.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa dari Felda Selendang Dua di Rompin melihat iklan pinjaman wang di Facebook pada 9 Oktober lalu.
“Warga emas berusia 63 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman wang berlesen dan lulus dalam masa 24 jam lalu menekan pautan WhatsApp sebelum dia dihubungkan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Mr. Tan.
“Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 dengan kadar bayaran balik RM160 sebulan selama tiga tahun,”katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada 10 Oktober lalu, suspek meminta mangsa memberikan beberapa dokumen termasuk gambar kad pengenalan serta nombor akaun bank mangsa untuk proses permohonan pinjaman itu.
Katanya, keesokkan harinya, mangsa dimaklumkan bahawa permohonan pinjamannya itu sudah diluluskan dan suspek turut menunjukkan surat pengesahan kelulusan daripada syarikat terbabit.
“Bagaimanapun mangsa diminta untuk membuat bayaran pelbagai prosedur proses pinjaman dan mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran ke akaun berlainan berjumlah RM3,820.
“Mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta bayaran atas pelbagai alasan walaupun sudah lima kali membuat pembayaran sebelum dia membuat laporan polis kerana berasa ditipu,”ujarnya. – K! ONLINE.