TANJUNG MALIM – Proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini berjalan lancar.
Hanya satu saluran mengundi dibuka sejak pukul 8 pagi ini untuk proses pengundian awal melibatkan 267 pegawai dan anggota polis.
Tinjauan Kosmo! di pekarangan IPD Muallim mendapati proses pengundian berjalan lancar dan pengundi mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan menjalani pemeriksaan suhu badan.
Proses pengundian turut disaksikan ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peti undi bagi pengundian awal hari ini akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraan undi akan dibuat pada Hari Pengundian 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi turut dilihat hadir untuk meninjau proses pengundian pagi ini.
Kawalan lalu lintas dilaksanakan di hadapan IPD Muallim untuk melancarkan pergerakan trafik.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, dari Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
SPR menetapkan hari mengundi pada 29 Ogos ini melibatkan 23,094 pengundi berdaftar. -K! ONLINE